Wednesday, August 20, 2014

MELAYU JANGAN JADI PENGEMBALA INI !

Sewaktu saya bersekolah di sekolah rendah pada tahun 70an , umumnya orang Melayu di kampung kampung hidup susah dengan kemudahan yang minima. Bekalan air dan elektrik masih tidak ada.

Kalau ada TVpun di  kampung mungkin hanya ada sebuah, di rumah Ketua Kampung. Hiburan atau sumber berita utama adalah radio.
Di kampung saya pada ketika itu ada lebih kurang sepuluh rumah yang memiliki radio.

Mungkin kerana itu budak budak suka ke sekolah kerana di sekolah cikgu cikgu suka bercerita. Hampir setiap hari ada cerita yang disampaikan.
Saya nak kongsikan sebuah cerita yang sampai sekarang lekat dalam ingatan saya...

" Pada satu masa dahulu, di sebuah kampung tinggal seorang budak bersama ibunya. Bapa budak ini telah meninggal dunia kerana cedera diserang serigala.
Selepas kematian bapanya , budak ini menggantikan tugas bapanya sebagai pengembala kambing. Budak ini kerana yatimnya dikasihi oleh orang kampung. Pada masa itu ayat yatim selalunya diberikan perhatian dan kasih sayang.

Pada satu hari, budak ini berfikir untuk mengenakan orang kampung. Agaknya mahu bergurau dan mengusik. Dia tiba tiba menjerit,

" Serigala ! Tolong ! Tolong ! Serigala mahu menyerang kambing saya ! "
Orang kampung yang berkebun dan tinggal di kawasan berhampiran terkejut lalu masing masing berlari ke tempat budak itu mengembala. Masing masing membawa senjata.

Melihat orang kampung tercungap cungap budak ini menjadi seronok. Dia ketawa berdekah dekah walaupun orang kampung marah kerana dipermainkan.

Selang beberapa hari budak ini melakukan perkara yang sama. Orang kampung oleh kerana teringat kepada bapanya yang mati kerana serigala, berbelah bagi. Namun akhirnya semua berlari ke tempat yang sama dan tertipu sekali lagi. Tanpa rasa bersalah budak ini ketawa besar sekali lagi.

Takdir ALLAH TA'ALA, satu hari sekawan serigala benar benar menyerang kambing kambing yang dipelihara oleh budak ini. Dia menjerit sekuat hati sambil menangis. Tiada seorang orang kampung datang kerana menjangka sekali lagi akan terpedaya.

Hampir habis kambing budak ini. Nasib baik dia dapat menyembuyikan diri. Jika tidak, dia akan mengulangi sejarah bapanya.

Pada waktu itu, cikgu hanya mengingatkan kami, jangan menjadi penipu.

Sekarang , setelah lebih 30 tahun saya mendapat banyak pengajaran daripada cerita menarik ini.

1. Jangan menipu orang
2. Kita boleh tipu orang sekali atau dua kali
3. Penipu sejauh mana pandaipun tak akan selamat
4. Sudah pasti satu ketika penipu akan terhukum

Monday, August 18, 2014

LEBIH BAIK MENJADI JEBAT !

Watak jahat paling terkenal dalam sejarah Umat Melayu adalah Hang Jebat. Pelbagai percubaan dilakukan oleh para pengarang termasuk dalam era moden bukan sahaja gagal menyaingi Jebat bahkan langsung tidak berupaya menggugatnya.

Jebat selepas ratusan tahun sesekali mengatasi Hang Tuah daripada sisi moral dan maruahnya. Jebat derhaka bukan sekadar menentang sistem Istana tetapi menentang sistem pemikiran dan budaya perasaan orang Melayu.

Baca pandangan Muhammad Haji Salleh...

 Lihat juga dunia peribadi Hang Jebat, segala yang dilarang bukan sahaja tetapi lebih daripada itu ditemasyakannya dengan dayang dayang dan gundik, malahan biduan raja dalam satu fantasi meriah yang hanya dipentaskan di luar peraturan raja atau masyarakat. Ini adalah satu pemberontakan sepenuhnya. Nafsu yang dilarang dan diselindungkan itu diraikan dan dibebaskan. 

Teruskan bacaan...

 Temasya ini tidak berlaku dalam kekejaman, sekurang kurangnya dalam babak ini. Ada tarikan peribadi, dan ada perasaan bahawa mereka dikasihi. Ada sungai perasaan yang mengalir. Mungkin juga mereka dipujuk dan dipuji. Dan diberi penghormatan yang sebelum ini tidak mereka perolehi sebelum ini. Sebab itulah, maka digambarkan di dalam hikayat...

'Segala dayang dayang dan perwara dalam istana yang bermukah dengan Si Jebat terlalu kasih akan Si Jebat- lain daripada gundik raja empat puluh dan pendekar empat orang, lain daripada itu semuanya kasih akan Hang Jebat- tiada lagi ia mahu mengikut Raja' ( Hikayat Hang Tuah )

Tulisan ini tidak bercadang untuk mengulas halal haram perbuatan Jebat sewaktu membalas dendam tetapi ia mahu menjelaskan bagaimana setiakawan menjadikan Hang Jebat tokoh yang terus hidup walaupun telah beratus tahun jasadnya dikuburkan. SETIAKAWAN.

Sebab itu juga saya memilih untuk mendedahkan sebarang penderhakaan terhadap persahabatan tidak kira bentuknya. Sebarang bentuk penganiayaan terhadap kawan sehingga seseorang memuncak ke langit dengan memijak di atas kepala kawan yang pernah bersama dengannya.

Untuk berlaku adil, blog ini akan serta merta menyiarkan sebarang pembetulan dan penyelesaian dan sekiranya tidak tanpa sebarang ketakutan ia akan terus membongkar. Umat Melayu bangga dengan Jebat dan akan terus berbangga dengannya.

Jebat yang SETIA matinya mulia sampai bila bila !

MEMBACA MELAYU...

MELAYU

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau
memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka
~ Usman Awang 

Saturday, August 16, 2014

ADA JUGA MELAYU MAKAN MELAYU ?

Blog ini dibina atas hasrat untuk mengangkat darjat dan martabat Melayu. Melayu selamanya dipandang rendah sehingga akhirnya orang Melayu sendiri percaya memang sebenarnya orang Melayu itu rendah. Blog ini insyaallah akan bercerita apa sahaja kehebatan Melayu di luar kerangka kecenderungan politik kepartian.

Namun begitu apabila ada orang Melayu diketahui cuba dalam apa cara sekalipun untuk merosakkan nama baik orang Melayu, maka blog ini tidak akan membenarkan ianya berlaku.

Oleh yang demikian saya tidak menunggu lama apabila seseorang menghantarkan kepada saya pelbagai bukti, dokumen yang menunjukkan ada orang Melayu yang sepatutnya mengharumkan nama Melayu tiba tiba mencemarkannya.

Saya tidak percaya ada orang Melayu yang telah berada di puncak, dihormati dan diberikan kedudukan yang tinggi sanggup merosakkan nama orang baik Melayu melalui perbuatannya.

Zaharen Zakaria adalah nama besar dalam dunia perniagaan dan sukan. Malaysia mengenalinya tapi Malaysia tidak menyedari dirinya yang sebenar.
Saya tidak pasti apakah beliau telah melunaskan tanggungjawab dan kewajipannya . 

Saya tidak mahu menyiarkan sederetan syarikat yang dikuasainya dan sejumlah aset yang dimilikinya. Saya berusaha untuk percaya bahawa beliau telahpun mula menyelesaikan beban yang dipaksakannya ke atas orang lain.

Saya menunggu pencerahan. Apa yang blog ini dedahkan adalah sebahagian kecil daripada onar yang dikatakan dilakukan oleh tokoh ini. Dan mungkin selepas ini ada lagi pendedahan akan dilakukan.

Atas nama kebenaran, blog ini akan terus memainkan peranan memelihara martabat Melayu bangsa yang bertuah ini.


                             




Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur


Friday, August 15, 2014

MULIANYA MELAYU !

Mereka mengangkat martabat Melayu

Syed Mokhtar Al Bukhari

Mokhzani 

Mereka mengangkat martabat Melayu. Tanpa mereka Melayu tiada dalam gelanggang. Tanpa mereka Melayu hanya menjadi penonton
 dan tukang sorak.

PENYAIR GUNUNG ...

Penyair Gunung

Akulah penyair yang turun dari gunung

beratus tahun telah kududuk di situ

beratus ratus tahun.

Kini kuturun ke lembah

melihat manusia

kecil miskin

lagi hina

hidup mereka melata lata.

Tanganmu kugenggam kujulang ke udara

akan kujeritkan bagaikan halilintar

kebebasan abadi.


Akan kita susun perbarisan

menjulang keadilan 

milik kita

milik semua 

kita hidup bahagia

milik kita 

milik semua

kita hidup bahagia .

Thursday, August 14, 2014

MARI BERMAIN API !




Sesekali

menghidup unggun api

dalam diri.


MELAYU DALAM ALUN MERDEKA !


Tiba tiba seorang teman lama melontarkan nukilan. Saya tidak pasti penciptanya  dan saya juga tidak pasti hasrat beliau. Beliau hanya menyebut, kongsilah. Saya mempunyai perasaan tersendiri bilamana bercakap tentang Melayu tetapi memilih untuk tidak menulis apa yang saya rasakan. Harapan saya pembaca bebas memilih persaan sendiri...Tanpa sebarang pindaan.


Hai Melayu!

rumahmu semua dibina indonesia,
ekonomi pula dikuasai cina,
golongan profesional semuanya india,
warung makan pun, mamak dan siam yang berkuasa,
warga Nepal pula menjadi Jaga,
orang Bangla yang menabur baja,
orang pakistan usung karpet jaja merata,
lalu melayu ada apa?

harapkan ustaz, saling menyesat,
harapkan hiburan, lagi best filem barat,
harapkan bahasa, banyak telah bertukar kesat
harapkan tulisan, jawi pun mereka hambat,
harapkan tanah, banyak digadai kepada korporat!

Hai melayu!

masih mendabik menjadi tuan?
sibuk mahu menjadi tuan,
rupanya kerja kelas bawahan,
ditipu mentah orang atasan,
konon perjuangan ini untuk kalian!
kerja sikit, sembang kencang,
banyak rungut, sikit rancang,
siapa tegur, dituduh lancang
duduk warung, gigit kacang!

Hai melayu!

konon kau pantang dicabar,
konon kau tangkas menyambar,
tapi cuma indah khabar,
rentakmu makin lama makin hambar
kau melayu aku pun melayu,
aku menulis bukan cemburu,
aku mahu engkau tahu,
kenapa melayu tak macam dulu.....

Hai melayu!

jari mu hebat bertutur di facebook alam maya,
bila berdepan ekonomi semasa kau tidak berdaya,
kau menjadi jaguh dunia bab bergaya,

Hai melayu!

kau melaung-laung di jalan raya,
bagi tahu kepada dunia ini bumi aku yang punya,
pada hakikat ia digadai kepada orang yang kaya!

Hai melayu!

kerana hendak bergaya kau gadai pusaka,
bila dah kaya kau jadi puaka,
ini tandanya kau sudah derhaka!

Hai melayu!

sedarlah bangsa ku,
buka lah minda mu,
bersatulah bangsa ku,
kerana malaya bukan lagi milik mu !

aku pun melayu,

engkau pun melayu,

bodoh sombong harus di tepis,
riak, bongkak dan hasad dengki sesama bangsa harus guris,
bersatulah melayu kerana agama, bangsa, moyang-moyang yang telah berjasa,
kerana ini mungkin peluang akhir bangsaku untuk negara, berjasa dan berkuasa.....

SELAMAT HARI MERDEKA - MALAYSIA 57


Tuesday, August 12, 2014

APA PASAL TAK BOLEH BERSATU ?

Apa yang berlaku sekarang adalah kesan orang Melayu tak bersatu. Agama kena hina. Bangsa kena cerca. Raja kena perlekeh. Tak payah bercakap pasal politik. Kita bercakap pasal Melayu kena bersatu.


Melayu pernah bersatu dulu. Kita tak merdeka kalau Melayu Kedah, Melayu Perak, Melayu Selangor tak bersatu. Malayan Union tak tumbang kalau Melayu tak bersatu. Tak peliklah kalau Melayu bersatu sekarang.

Ada Melayu PAS, ada Melayu DAP, ada Melayu PKR , ada Melayu UMNO.

Duduklah berbincang. Bincang pasal bangsa . Bincang pasal negara. Bincang pasal agama. 

Bersatu jaga negara. Bersatu jaga India. Bersatu jaga Cina. Percayalah bila kita bersatu kita yang jaga mereka bukan mereka kawal kita.


KHAS UNTUK BACAAN MELAYU SELANGOR !


Aduhai malang Pak Kaduk,
ayamnya menang kampung tergadai,
ada nasi dicurahkan,
awak pulang kebuluran,
mudik menongkah surut,
hilir menongkah pasang,
ada isteri dibunuh,
nyaris mati oleh tak makan,
masa belayar kematian angin,
sudah dilabuh bayu berpuput,
ada rumah bertandang duduk.


Pak Kaduk tak belajar tinggi. Pak Kaduk tak masuk universiti. Pak Kaduk mungkin tak ada cerita teladan untuk dijadikan panduan. Jika Pak Kaduk silap salahpun kerana Pak Kaduk tak pernah diberitahu dia akan jadi orang bangsat yang melarat .

Tapi sekarang banyak sangat panduan untuk kita teliti, banyak sangat. Maka jika kita mengulangi sejarah Pak Kaduk maknanya memang kita mencari penyakit. Jangan tangisi takdir kerana Allah rahsiakan takdirNya supaya kita sendiri menyusun dan merancang.


Saturday, August 9, 2014

ASSALAMUALAIKUMWARAHMATULLAHHIWABARAKATUH

Assalamualaikum , salam sejahtera. Selamat berkenalan. Izinkan saya bersama memeriahkan dunia maya.
Atas nama hak dan kebenaran, izinkan saya mendapat laluan.



Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagai bunga kembang tak jadi