Wednesday, August 20, 2014

MELAYU JANGAN JADI PENGEMBALA INI !

Sewaktu saya bersekolah di sekolah rendah pada tahun 70an , umumnya orang Melayu di kampung kampung hidup susah dengan kemudahan yang minima. Bekalan air dan elektrik masih tidak ada.

Kalau ada TVpun di  kampung mungkin hanya ada sebuah, di rumah Ketua Kampung. Hiburan atau sumber berita utama adalah radio.
Di kampung saya pada ketika itu ada lebih kurang sepuluh rumah yang memiliki radio.

Mungkin kerana itu budak budak suka ke sekolah kerana di sekolah cikgu cikgu suka bercerita. Hampir setiap hari ada cerita yang disampaikan.
Saya nak kongsikan sebuah cerita yang sampai sekarang lekat dalam ingatan saya...

" Pada satu masa dahulu, di sebuah kampung tinggal seorang budak bersama ibunya. Bapa budak ini telah meninggal dunia kerana cedera diserang serigala.
Selepas kematian bapanya , budak ini menggantikan tugas bapanya sebagai pengembala kambing. Budak ini kerana yatimnya dikasihi oleh orang kampung. Pada masa itu ayat yatim selalunya diberikan perhatian dan kasih sayang.

Pada satu hari, budak ini berfikir untuk mengenakan orang kampung. Agaknya mahu bergurau dan mengusik. Dia tiba tiba menjerit,

" Serigala ! Tolong ! Tolong ! Serigala mahu menyerang kambing saya ! "
Orang kampung yang berkebun dan tinggal di kawasan berhampiran terkejut lalu masing masing berlari ke tempat budak itu mengembala. Masing masing membawa senjata.

Melihat orang kampung tercungap cungap budak ini menjadi seronok. Dia ketawa berdekah dekah walaupun orang kampung marah kerana dipermainkan.

Selang beberapa hari budak ini melakukan perkara yang sama. Orang kampung oleh kerana teringat kepada bapanya yang mati kerana serigala, berbelah bagi. Namun akhirnya semua berlari ke tempat yang sama dan tertipu sekali lagi. Tanpa rasa bersalah budak ini ketawa besar sekali lagi.

Takdir ALLAH TA'ALA, satu hari sekawan serigala benar benar menyerang kambing kambing yang dipelihara oleh budak ini. Dia menjerit sekuat hati sambil menangis. Tiada seorang orang kampung datang kerana menjangka sekali lagi akan terpedaya.

Hampir habis kambing budak ini. Nasib baik dia dapat menyembuyikan diri. Jika tidak, dia akan mengulangi sejarah bapanya.

Pada waktu itu, cikgu hanya mengingatkan kami, jangan menjadi penipu.

Sekarang , setelah lebih 30 tahun saya mendapat banyak pengajaran daripada cerita menarik ini.

1. Jangan menipu orang
2. Kita boleh tipu orang sekali atau dua kali
3. Penipu sejauh mana pandaipun tak akan selamat
4. Sudah pasti satu ketika penipu akan terhukum